George Town Festival Kembali Secara Fizikal pada Julai
Festival seni ikonik Pulau Pinang kembali pada Julai dengan lebih mengegarkan
George Town, Pulau Pinang, Malaysia, 13 Jun 2022: GEORGE Town Festival (GTF) kini Kembali dengan lebih tarikan. Tahun ini sudah masuk tahun ke-13 dan festival ini akan dianjurkan secara fizikal dengan skala yang lebih kecil – tetapi masih cukup mengujakan – dari 9 hingga 24 Julai 2022. Terdapat lebih daripada 80 program meliputi seni visual, teater, muzik, tarian, filem, fotografi dan sebagainya. Berdasarkan konsep “seni berada di mana-mana”, festival selama 16 hari ini sedia mencipta pengalaman yang unik untuk orang awam meneroka dan menghargai warisan budaya George Town. Terdapat banyak program artistik yang berbayar dan percuma bakal diadakan di sekitar dan di luar George Town.
Festival ini amat dinanti-nantikan. Ia telah berkembang dan menjadi suatu festival seni yang ikonik dan juga merupakan acara utama di Pulau Pinang sejak ia bermula pada tahun 2010. Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, “Usaha yang berterusan daripada George Town Festival dalam mempromosikan seni adalah salah satu sebab Pulau Pinang telah mengorak langkah dalam arena seni dunia; CNN Travel berkata GTF adalah ‘kesemua yang terbaik di Pulau Pinang dikumpulkan dalam satu festival’ manakala The New York Times mengulasnya sebagai ‘suatu festival yang telah berkembang kepada acara seni Asia yang utama’.
“Kebanyakan kejayaan festival ini berpunca daripada komitmen ikhlas untuk memupuk bakat tempatan, memelihara warisan dan budaya tempatan serta menyediakan platform antarabangsa untuk artis tempatan, semua ini selari dengan komponen utama visi Penang2030, iaitu ‘Berfokuskan Keluarga’ dan ‘Inspirasi’. Ini dapat dilihat dalam program George Town Festival yang menberi jiwa kepadanya dan diidamkan oleh festival-festival lain.”
Dalam ucapannya, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE), Yeoh Soon Hin berkata, “Festival seperti George Town Festival ini telah berperanan dalam menjenamakan negeri kita sebagai bandar kreatif. Berkat usaha berterusan festival ini dalam menyokong bidang seni, ramai pengunjung dan juga orang tempatan mula melihat negeri ini sebagai bandar inovatif. Ini menambahkan kepadanan di antara kreativiti dan orang awam, serta membayang dan mencipta semula bandar ini bukan sahaja dengan warisan dan makanan tetapi juga dengan kreativiti sebagai salah satu aset utama dalam menjana ekonominya.”
“Pengunjung festival dapat menjangkakan banyak produksi baru yang dihasilkan oleh pengiat seni berbakat kami. Festival ini bertujuan memupuk bakat tempatan dengan menyediakan platform antarabangsa kepada penggiat seni yang berbakat, serta menyokong ekonomi kreatif dan perniagaan tempatan serta memastikan kesenian adalah terbuka untuk semua.
“Tambahan pula, saya ingin menekankan bahawa walaupun festival ini kembali dalam format fizikal pada tahun ini, ia kembali tanpa acara luar yang berskala besar. Tahun ini acara berskala kecil dan sederhana diadakan dengan pelbagai tema di lokasi yang berbeza sepanjang festival ini. Ini adalah untuk mencipta mood sambutan secara universal. Pengunjung boleh menikmati pelbagai program yang akan diadakan secara selamat dan selesa.
“Sudah sekian lama kita semua tidak menikmati acara dan festival sebegini, jadi kita berharap orang awam boleh mengimbau kembali atau mencari semula keghairahan mereka melalui GTF.”
Orang awam kini boleh membeli tiket GTF terutamanya untuk program yang berbayar. Ada di antara program ini yang akan mengadakan persembahan perdana di Pulau Pinang, sama ada di peringkat antarabangsa ataupun nasional. Program yang berbayar GTF kali ini adalah dianggarkan 30% sehingga 50% lebih murah berbanding program di tempat lain. Justeru itu ia membolehkan pengunjung menikmati persembahan eksklusif pada harga yang berpatutan.
Antara program berbayar adalah “The Senses” dan “Mozart at the Mansion”. Program-program ini akan diadakan di Curtis Crest, The Habitat Penang Hill dan Cheong Fatt Tze Mansion – The Blue Mansion, yang terletak di dalam dua kawasan tapak UNESCO di Pulau Pinang. Tambahan pula, bukan sahaja kedua-dua lokasi berada di dalam rizab biosfera Bukit Bendera dan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, program-program ini juga membolehkan pengunjung menikmati konsert dalam hutan hujan atau rumah agam yang bersejarah, selain daripada dewan konsert.
Jangan lepaskan peluang untuk menyertai program berbayar yang lain seperti “Teater Tradisional Makyung ‘DEWA INDERA INDERA DEWA”, sebuah persembahan Mak Yong, persembahan tradisional Melayu yang hampir pupus. Selain itu “Ibu 伊母”, persembahan teater patung Teochew yang mengabungkan seni persembahan tradisional Teochew dengan teknologi moden (pemetaan unjuran) untuk menyampaikan cerita yang diinspirasikan oleh satu cerita rakyat terkenal di Asia Tenggara.
Selain program berbayar, pengunjung festival boleh menghayati program percuma – yang meliputi 70% daripada keseluruhan program GTF. Program-program ini mempamerkan pelbagai budaya dan warisan Pulau Pinang dan terdiri daripada pertunjukan, tayangan filem, pameran, kelas pakar dan banyak lagi. Antara pertunjukan yang menarik adalah “Angin OMbulan”, persembahan penyembuhan tradisional Melayu versi moden yang mendapat ilham daripada Main Puteri dan Mak Yong; “SERENITY: A Glimpse Through the Traditional Lenses”, tayangan filem dan persembahan yang bertujuan untuk menghubungkan bentuk seni tradisional dengan persembahan tarian moden; dan “G-Short 2022 Finalists Film Screening”, yang menayangkan filem dari peserta-perserta akhir Festival Filem Pendek “G-Short” yang terpilih daripada 69 buah negara.
Penggemar seni boleh menghayati “Cahaya XR: First Edition”, sebuah pameran seni XR mengasyikkan yang menggunakan teknologi realiti maya, terimbuh, dan bercampur untuk mengimaginasi semula warisan dan cerita tradisional Pulau Pinang. GTF juga akan dimeriahkan dengan “A Night at Hin”, di mana pengunjung dan pembeli-belah boleh mengunjungi pasar artisan terkenal pada waktu malam dengan tiga tema yang berbeza yang dibahagikan mengikut tiga minggu yang berbeza.
Atas usaha untuk memastikan kesenian boleh diakses oleh semua dibawah tema “Festival untuk semua, GTF akan membawa acara komuniti “Stay-at-Home Concert” kepada penduduk di Gat Lebuh Macallum. Acara komuniti ini adalah kerjasama GTF dengan Pusat Khidmat ADUN Pengkalan Kota. Ia bukan sahaja mendedahkan pengalaman budaya dan seni baru kepada komuniti ini, tetapi juga menawarkan suatu peluang untuk menikmati seni di depan pintu mereka. Selain daripada acara komuniti “Stay-at-Home Concert”, terdapat juga beberapa pilihan program mesra keluarga untuk pengunjung GTF termasuk “Come Play with Me: A Piano Concert for Families”, konsert sejam untuk semua peringkat umur dan dipenuhi dengan muzik piano yang cantik dan mesra keluarga oleh komposer klasikal terkenal dan karya moden.
Festival ini juga akan menghubungkan pengunjung dengan dunia seni dan budaya antarabangsa melalui pelbagai kerjasama dengan negara lain. Pencinta dan pelajar seni arkitek akan berminat dengan pameran “Le Corbusier Exhibition” yang memaparkan model bangunan ikonik arkitek Perancis-Swiss Le Corbusier. Pameran ini dipersembahkan oleh USM dan Alliance Française Malaisie manakala RT+Q menjadi kurator. Pameran ini juga diadakan sempena Festival Le French Film dan George Town Festival 2022, dengan sokongan Yayasan Le Corbusier (dan Alliance Française de Singapour) serta ditaja oleh Escatec. Manakala melalui kerjasama dengan Jabatan Perhubungan Budaya Taipei, “Isle to Isle“ akan kembali untuk edisi ke-4 dan meneruskan keghairahan menterjemahkan jiwa pertukaran budaya dan berkomunikasi melalui seni untuk menghubungkan kedua-dua pulau – Pulau Pinang dan Taiwan – bersama.
George Town Festival 2022 adalah sebuah projek George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), dianjurkan oleh TLM Event, disokong oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta disokong sepenuhnya oleh Pejabat Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Penang Global Tourism (PGT).
Untuk maklumat lanjut, layari georgetownfestival.com dan ikuti laman Facebook kami di George Town Festival.